Muawiyah : Pemerintah Yang Cemerlang~
Pernah seorang lelaki bertanya kepada al-Mu’afi bin Imran RHM:
“Wahai Abu Mas’ud (gelaran al-Mu’afi)! Bagaimanakah kedudukan Umar Abdul Aziz berbanding Muawiah bin Abu Sufyan?” al-Mu’afi menjadi amat marah mendengar soalan tersebut, lantas menjawab: ” Para sahabat Rasulullah SAW tidak dapat dibandingkan dengan sesiapa jua. Muawiah adalah seorang sahabat Rasulullah SAW, ipar baginda, jurutulis baginda dan kepercayaan baginda dalam menulis wahyu Allah.” (diriwayatkan oleh al-Imam al-Khatib al-Baghdadi (463H) di dalam Tarikh Madinah al-Salam (diteliti oleh Basyar `Awwad Ma’ruf, Dar al-Gharb al-Islami, 2001), jld 1, ms 577)
Muawiah juga memiliki satu keutamaan yang khusus, iaitu beliau memiliki cirri-ciri kepimpinan yang amat baik. Di atas cirri-ciri inilah beliau dapat memerintah negara Islam pada zamannya dengan penuh kecemerlangan, keadilan, kemakmuran dan kekuatan. Ciri-ciri ini dipersaksikan oleh para sahabat yang lain. Di antaranya ialah Abdullah ibn Abbas RA di mana beliau pernah berkata:
“Belum pernah aku melihat orang yang lebih istimewa dalam pemerintahannya selain Muawiah.” (diriwayatkan oleh al-Imam `Abdul Razzaq (211H) di dalam al-Musannad (diteliti oleh Habib al-Rahman al-`Azhami; al-Maktab al-Islami, Beirut , 1983), riwayat no:20985).
Abdullah ibn Umar RA turut berkata:
“Tidak pernah aku melihat seorang jua selepas Rasulullah SAW yang lebih bijak kepimpinannya selain Muawiah.” Orang bertanya: “Tidak juga Abu Bakar as-Siddiq?” Ibn Umar menjawab: “Tidak juga Abu Bakar as-Siddiq akan tetapi Abu Bakar adalah lebih baik daripada beliau (dalam sudut-sudut yang lain). Orang bertanya lagi: “Tidak juga Umar?” Ibn Umar menjawab: “Tidak juga Umar akan tetapi Umar adalah lebih baik daripada beliau (dalam sudut-sudut yang lain).” (diriwayatkan oleh al-Imam Ibn Asakir (571H) di dalam Tarikh Dimashq al-Kubra (diteliti oleh `Ali `Asyur; Dar al-Ihya al-Turath al-`Arabi, Beirut , 2001), jld 62, ms 120)
Qabishah bin Jabir RHM berkata: “Belum pernah aku melihat orang yang lebih agung kesantunannya, lebih besar kemuliaannya dan lebih lemah lembut pemerintahannya melainkan Muawiah.” (Tarikh Dimashq al-Kubra, jld 62, ms 119)
Terdapat banyak keterangan daripada para sahabat dan para tokoh daripada zaman selepas sahabat berkenaan kecemerlangan pemerintahan Muawiah, sehingga berkata Syaikh Muhib al-Din al-Khatib RHM:
” Di antara perkara yang perlu dikaji berkenaan sejarah Arab dan Islam adalah untuk mengetahui bahawa Muawiah mempelopori kepimpinan kepanglimaan dan pembentukan hukum.” (catatan notakaki kepada al-`Awashim min al-Qawashim, ms 211)
Mengenali kecemerlangan pemerintahan Muawiah adalah penting kerana ia membentuk dasar kepada pengajian kita tentang sejarah pemerintahan beliau. Sebelum ini kebanyakan umat Islam hanya mengenali Muawiah sebagai seorang yang jahat lagi tercela, hasil daripada pengaruh Syiah. Semua ini menyebabkan mereka membaca sejarah pemerintahan beliau dengan mindset yang negatif. Kini, kita akan mengkaji semula sejarah pemerintahan beliau dengan mindset yang positif.