Nafsu Puas tapi Jiwa Merana!
Engkau lepaskan kehendak nafsumu
Engkau rasa puas tapi ingat jiwamu tetap tidak puas
Hatimu tetap gelisah dan parah
Kerana hati tidak berbohong, bahkan tidak tahu berdusta
Mulut boleh berbohong, sikap kita boleh berpura-pura
Kita boleh berlagak macam orang tidak ada apa-apa masalah demi menjaga
wibawa
Tapi hatimu tidak boleh berpura-pura
Jiwamu tidak boleh berlagak macam orang tidak ada masalah
Masalah tetap tersimpan di dalam lubuk hatimu
Engkau tidak boleh melupakannya
Sebagai contoh, untuk memuaskan nafsu engkau maki ibumu
Tapi hatimu menjerit melolong merasa bersalah
Engkau tempeleng isterimu untuk memuaskan hati
Memuaskan hati itu istilah sahaja
Hatimu tetap menjerit kerana kesalahan itu
Engkau kata dan hina gurumu
Untuk memuaskan nafsu
Engkau rasa nafsu puas
Tapi jiwamu menjerit, jiwamu menderita, hatimu menangis
Hati tidak boleh berbohong
Hati tidak pandai berlakon dan berdusta
Kalau yang betul dia tetap terasa betul
Yang salah tetap dia terasa bersalah
Hati satu-satunya anggota yang tidak boleh menyorokkan hakikat kebenaran
Akhirnya engkau menderita dengan kesalahan engkau sendiri
Walaupun luarnya semua engkau boleh berlakon menutup-nutupnya